DAP sekali lagi menggunakan alasan 'masalah teknikal' sebagai punca 753 perwakilan parti itu tidak menerima surat jemputan untuk menghadiri Kongres Kebangsaan ke-16 parti itu, sekali gus gagal mengundi bagi memilih ahli Jawatan Kerja Pusat (CEC) pada Disember lalu.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham berkata, beliau yang menghubungi ibu pejabat DAP sebelum kongres itu untuk bertanya mengenai hal tersebut telah diberitahu berlaku kesalahan komputer yang menyebabkan surat itu tidak dihantar.
Beliau berkata, masalah itu turut dibangkitkan kepada para pemimpin negeri tetapi tidak mendapat jawapan.
"Nampaknya kesilapan teknikal akan menjadi satu jawapan mudah dan lazim setiap kali sebarang masalah dibangkitkan kepada pemimpin tertinggi DAP," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi DAP Cawangan Taman Desa Dahlia, Richard Francis dan Setiausaha cawangan berkenaan, S. Karthiyaini.
Richard dan Karthiyaini turut mengakui tidak menerima surat jemputan itu walaupun pernah menerima surat lain dari ibu pejabat parti menggunakan alamat rumah masing-masing.
Sebelum ini, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan DAP gagal memaklumkan kepada 753 daripada 2,576 ahlinya bagi menghadiri pemilihan CEC berkenaan pada 15 Disember tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung status pemilihan tersebut.
Kelmarin, Setiausaha DAP Bahagian Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, R. Ramdas mendakwa, beliau antara 753 perwakilan yang tidak menerima surat jemputan menghadiri kongres berkenaan.
David Dass turut memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan masalah itu disengajakan bagi membolehkan kumpulan tertentu menang dalam pemilihan yang dibuat semasa kongres berkenaan.
"DAP kini bukan lagi Democratic Action Party tetapi 'Dramatic Action Party' yang dibarisi pelakon handalan dengan (Pengerusi DAP) Karpal Singh diperkudakan oleh Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.
"Jika Karpal bukan seorang profesional, entah mana dia akan dicampakkan oleh Kit Siang dan Guan Eng," bidas David Dass lagi.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana cara pelantikan jawatan tertinggi di kalangan 20 ahli CEC dalam parti itu dibuat.
"Ini tidak berlaku kepada mana-mana parti lain sama ada UMNO, MIC atau Pas yang melalui proses pengundian untuk memilih pemimpin tertinggi parti," katanya.
No comments:
Post a Comment